Tips Ajar Anak Hargai Barang


Soalan:

Anak saya berusia enam tahun, apa yang merisaukan saya dia tidak pandai menjaga barangan yang diberi. Contohnya setiap kali diberi mainan atau alatan menulis, pasti hilang serta rosak. Saya bimbang sikap tersebut terbawa-bawa sehingga dewasa. Dia seolah-olah tidak menghargai apa yang dia dapat. Apakah cara terbaik untuk menasihatkannya?

Jawapan:

Saya percaya puan dan para pembaca pernah mendengar kata-kata ini  ‘senang dapat senang lepas’. Biasanya kalau kita rasa tidaklah susah untuk mendapatkan sesuatu benda itu, maka kita tidak terlalu menghargai barang itu. Tetapi, sekiranya barang itu sukar didapati tentunya kita akan lebih menghargai barang itu kerana sukarnya mencari ganti barang itu kelak.

Justeru, kita akan menjaga barang itu seperti menatang air yang penuh. Jadi, puan perlu memberi syarat ketika membelikan barang yang dimahukannya. Perlu diingat, syarat itu juga mesti dipatuhi oleh kita sebagai ibu bapa. Jangan hanya memberi syarat tetapi kita juga tidak patuhi. Maka jika ia berlaku anak-anak tidak akan kisah dengan syarat kita.

Contohnya sekiranya kita menyatakan “pensil ni boleh tahan dua minggu, kalau sebelum dua minggu semua dah rosak, ummi tak belikan sebab adik tak cermat…jadi,adik kena jaga pensil ini dengan cermat…”. Jadi, apabila sebelum dua minggu pensil itu sudah rosak, maka kita perlu keraskan hati dengan syarat yang telah kita buat. Memang kita kasihan apabila anak merengek mahu dibelikan barang yang baru, tetapi kita perlu mendidiknya agar belajar dari kesilapannya.

Dia akan merasa kesan terhadap perbuatannya yang tidak menjaga barang dengan baik. Ia bukan bertujuan untuk mendera tetapi  mendidik anak kita. Jika kita konsisten, maka anak-anak faham dan hormat pendirian ibu bapa. Dengan cara ini anak-anak belajar berdisiplin, mendengar kata, dan menghargai barang miliknya. Sebahagian besar kanak-kanak memang tidak faham dengan hanya nasihat, maka dengan nasihat melalui pengalaman sendiri itu lebih berkesan (ada orang dewasa juga begitu!).

Selain itu, anak-anak melihat kita sebagai contoh, kalau dia melihat ibu bapanya berbelanja boros sesuka hati, tentunya dia juga akan berfikiran begitu. Kadang-kadang, ibu bapa pula yang terlebih-lebih. Anak-anak tidak minta barang itu, tetapi kita yang teruja kononnya sayangkan anak. Jadi, apabila itu adalah barang yang bukan anak kita mahukan, maka dia pun tidak terlalu menghargainya. Sayang anak berpada-pada. Jangan terlalu memanjakan sehingga anak-anak ‘spoil’ atau menjadi tidak matang.


Sumber: kedaiberjaya.com

Comments

Jom Sambung Baca Post Yang Ini Pula

Doa Anak Cerdik Genius Luar Biasa

Aktiviti Eksperimen Gunung Berapi Bersama Anak

Teknik Utama Anak Pandai Mengaji