Kenapa Bersegera Mendidik?
Anak-anak adalah sumber kelangsungan hidup. Kehadiran mereka menambah keriangan namun ia hadir dengan amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Jika kita lalai dalam menunaikan tanggungjawab sebagai ibu bapa, maka anak akan jadi satu bebanan hidup, satu liabiliti yang berat yang terpaksa kita tanggung sehingga menutup mata dan menghembuskan nafas terakhir.
Semua tahu hakikat sebenarnya bukanlah liabiliti itu ditanggung hingga setakat itu sahaja. Ia akan menjadi bebanan di alam seterusnya. Berbagai kata negatif yang pernah saya dengar daripada seorang ibu yang kecewa dengan anak-anaknya setelah mereka tidak 'menjadi'. Betul lah kata hukama..
"Bersegeralah dalam mendidik anak sebelum kesibukan melalaikanmu, kerana sesungguhnya apabila anakmu telah berumur dewasa dan berakal (tetapi tidak terdidik) maka dia akan menyibukkan (menyusahkan) hatimu dengan keburukkan".
Bagi saya amatlah penting untuk mendidik anak sedari kecil kerana Nabi S.A.W pernah bersabda,"Kegiatan anak semasa kecilnya akan menambah akalnya diwaktu dia membesar" (Riwayat Tarmizi)
Kalau kita lihat sejarah ilmuwan Islam semasa zaman Islam gemilang, semuanya memulakan pendidikan sejak dari kecil lagi. Mereka bukanlah terus menjadi orang bijak pandai secara tiba2. Majoriti mereka telah menghafaz seluruh al Quran sejak kecil sebelum berpindah ke cabang-cabang ilmu matematik, kimia, fizik, astrologi dan lain-lain.
Cara begitulah ilmuwan Islam seperti al-khawarizmi, ibnu khaldun, ibnu Rushd, ibnu Sina, al Farabi, ibnul Khaitam dan lain lain lahir. Jika difikirkan banyak benarnya juga. Ikut kajian sains, kanak-kanak yang belajar menghafal akan meningkatkan kuasa otak kiri mereka.
Otak kiri bertanggungjawab untuk proses berfikir secara analitikal seperti sains, matematik dan bahasa. Sementara otak kanan pula untuk berfikir secara holistik seperti perkara berkaitan dengan seni, muzik dan lain-lain.
Pernah membaca biografi Imam kita, Imam Shafie? Beliau merupakan antara Imam yang paling bijak dan telah menghafaz quran seluruhnya pada umur 7 tahun. Bila saya baca kenyataan tentang beliau menghafaz seluruh isi Al Quran pada umur 7 tahun, saya berkata dalam hati..
'Ia Mustahil untuk anak orang lain!! Kerana dia adalah orang yang terpilih, maka jadilah beliau hebat begitu!'.
Berbalik kepada Imam Shafie menghafal seluruh isi Al Quran pada umur 7 tahun, bagi saya ia sudah tidak mustahil lagi kerana kalau anak saya yang pada zaman moden yang ada TV dan Video, yang boleh saya katakan setiap hari akan menonton TV/CD kesukaannya, suka bermain dan hanya belajar mengaji sekejap-sekejap ini pun boleh membaca Al Quran dan menghafaz 8 surah pada umur belum sampai 3 tahun setakat 28/6/09 (satu minggu satu surah pendek). Inikan pula jika seseorang itu hidup pada zaman para salafussoleh dimana pegangan agama Islam masih kuat lagi.
Saya di beritahu oleh seorang guru tahfiz dari salah satu Madrasah Tahfiz di Shah Alam bahawa pelajar beliau mampu menghafal seluruh AlQuran dalam masa 2 tahun jika sepenuh masa. Beliau pernah mempunyai seorang murid yang pintar yang menamatkan hafazan dalam masa 1 tahun 4 bulan sahaja. Maka kesimpulan saya, Imam Shafie mungkin boleh membaca AlQuran pada umur 3 tahun dan menghafal seluruh isi AlQuran selepas itu! Maka tidak mustahil untuk diterima akal beliau menghafal Quran pada umur 7 tahun.
Ibu saya pernah berkata, jika Al-Fatihah yang kamu ajar pada seorang kanak-kanak yang belum tahu, maka pahala setiap kali bacaannya akan sampai kepada kamu walaupun kamu sudah mati. Jika anak kamu mengajar anaknya AlFatihah pula, pahalanya akan juga sampai kepada kamu kerana kamulah yang mengajar sehingga dia boleh mengajar anaknya sendiri. Kita tahu bahawa ada 17 kali surah Al-Fatihah akan dibaca dalam sehari untuk solat wajib dan pahalanya mengalir kepada kita kerana kita yang mengajarnya.
Bagi saya, mengajar anak sendiri ibarat saya memulakan perniagaan multi level untuk dunia akhirat saya! Sebab itu saya berebut untuk mengajar anak saya terlebih dahulu sebelum guru tadikanya atau guru agamanya bila dia bersekolah nanti.
Agak mencabar juga untuk mengajar kanak-kanak kerana kita perlu banyak bersabar setelah diri kita letih menguruskan perniagaan sehari-hari. Saya rasa ibu-ibu yang menjadi suri rumah sepenuh masa agak beruntung kerana boleh menghabiskan masa sepenuhnya dengan anak-anak.
Kesibukkan tugas menguruskan perniagaan saya kadang-kadang melalaikan saya. Saya harap saya dapat terus mendisiplinkan diri untuk mendidik anak saya walau bagaimana sibuk pun. Caranya, saya akan cuba selalu mengingatkan diri saya akan ayat ini..
"Bersegeralah dalam mendidik anak sebelum kesibukan melalaikanmu, kerana sesungguhnya apabila anakmu telah berumur dewasa dan berakal (tetapi tidak terdidik) maka dia akan menyibukkan (menyusahkan) hatimu dengan keburukkan"..
Sumber: Perkongsian Puan Lina Karim, Cetusan untuk mengajar anak mula dengan AL-Quran.
Comments
Post a Comment