Galakkan Anak Sertai Pertandingan

Rasulullah SAW Menggalakkan Anak Sertai Pertandingan.

Perlumbaan dan pertandingan secara umumnya dapat menggerakkan semangat manusia, terlebih lagi bagi kanak-kanak yang memiliki perasaan dan kemampuan terpendam yang tidak diketahui melainkan hanya terzahir ketika dirinya berada di hadapan orang yang harus dia kalahkan secara kompetitif.

Rasulullah SAW menanamkan dalam jiwa kanak-kanak sikap kompetitif untuk menggali kemampuan terpendam ini. Di antara contoh-contohnya adalah berbentuk pertanyaan menguji minda atau teka-teki  tatkala Rasulullah SAW melontarkan pertanyaan kepada para sahabat. Di antara para hadirin itu terdapat Ibnu Umar RA yang merupakan peserta yang paling muda.

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dari Ibnu Umar RA:

Rasulullah SAW bersabda, “Di antara pepohonan terdapat satu yang daunnya tidak gugur. Seumpama seperti seorang Muslim. Beritahukanlah kepadaku pohon apakah itu?” Orang-orang pun mengira-ngira pohon apakah itu. Abdullah mengatakan, “Dalam hatiku aku menekanya pohon kurma.” Kemudian Rasulullah SAW memberitahukan jawapannya kepada kami, “Pohon itu adalah pohon kurma.”

Dalam riwayat yang lain disebutkan tentang alas an Ibnu Umar tidak menjawab. Dia katakan, “Aku adalah yang paling muda di antara mereka yang hadir. Oleh kerana itu aku diam.”

Pertanyaan-pertanyaan seperti ini dapat menguji akal, membuka minda dan mencairkan pemikiran yang beku.

Ibnu Umar, walaupun merupakan peserta paling muda, dapat mengalahkan orang-orang dewasa dalam pengetahuan dan jawapannya. Hanya demi menjaga kesopanan dia berdiam diri kerana tidak mahu memalukan peserta yang lebih berusia daripadanya.

Di antara contoh yang lain adalah pertandingan olahraga bagi kanak-kanak. Rasulullah SAW mengadakan pertandingan lumba lari untuk kanak-kanak agar anggota tubuh badan mereka menjadi kuat dan sempurna.

Diriwayatkan oleh Ahmad dari Abdullah bin Harith RA:

Rasulullah SAW membariskan Abdullah, Ubaidullah dan beberapa anak-anak lain dari cucu-cucu Abbas RA. Kemudian beliau bersabda, “Siapa yang sampai kepadaku terlebih dahulu, maka dia akan mendapat hadiah demikian dan demikian!” Mereka pun beradu cepat ke arah beliau lalu memeluk punggung dan dada beliau. Beliau mencium dan memeluk mereka.

Kesimpulannya, perlumbaan dan pertandingan adalah satu kaedah bagi ibu bapa dan para pendidik untuk memberikan kegiatan, mengasah bakat dan kecenderungan kanak-kanak. Kaedah ini perlulah sentiasa diterapkan dalam kehidupan mereka. Para pemenang pula hendaklah dihadiahkan sesuatu sebagai penghargaan kepada mereka, sebagaimana dilakukan oleh Rasulullah SAW, “Siapa yang sampai kepadaku terlebih dahulu, maka dia akan mendapat hadiah demikian dan demikian!”

Aktiviti-aktiviti sihat seperti ini membuatkan kanak-kanak merasa gembira dan teruja. Setiap kanak-kanak yang menyertai pertandingan tersebut akan menzahirkan segenap kemampuan mereka untuk memperolehi kemenangan. Mereka akan bersiap sedia dari awal untuk pertandingan yang disertai. Mereka akan berlatih, belajar, bertanya dan memperlihatkan tahap kemampuannya kepada kedua ibu bapa. Akhirnya kemampuan yang terpendam ini dapat dizahirkan daripada diri mereka.

Pada masa yang sama, kaedah ini juga mempunyai manfaat yang lain, iaitu menumbuhkan jiwa bermasyarakat dan menjauhkan dari bersendirian. Kanak-kanak juga akan belajar bahawa di dalam kehidupan ini adakalanya menang dan adakalanya kalah. Ada waktu mereka mengetahui jawapan dan adakalanya tidak dapat menjawabnya dan adakalanya jawapannya betul dan di waktu yang lain, jawapannya mungkin salah.

Demikianlah indahnya tarbiyyah daripada Madrasah Rasulullah, daripada membina sebuah negara sehingga membina kanak-kanak di dalam negaranya!



Rujukan: Manhaj at-Tarbiyyah an-Nabawiyyah lith Thifl karya Dr Muhammad Nur Abdul Hafizh Suwaid.

Sumber: DiariMukmin.com

Comments

Jom Sambung Baca Post Yang Ini Pula

Doa Anak Cerdik Genius Luar Biasa

Aktiviti Eksperimen Gunung Berapi Bersama Anak

Teknik Utama Anak Pandai Mengaji