Tips Menjadikan Anak Seorang Yang Berilmu


Peranan Ibubapa Dalam Menjadikan Anak Seorang Yang Berilmu

Bismillah,

Terus terang, bila kita ada anak, ada satu soalan standard yang selalu diulang oleh anak kita.

"Umi, itu apa? Abah, apa tu?"

Soalan akan selalu diulang-ulang saban waktu lalu bagaimanakah respon kita??

1. Pergi main jauh-jauh, umi penat ni.
2. Tak tahulah.  Abah sibuk ni, baru balik kerja, abah nak pergi mandi. 
3. Oh, itu miawww.
4. Oh, itu kucing. 
5. Oh.. itu kucing Parsi, sayang.

Berdasarkan 5 contoh jawapan diatas, yang manakah sangat mirip dengan kaedah kita memberi jawapan?

Umum mengetahui jawapan pertama dan kedua bukanlah respon yang baik. Jawapan pertama menunjukkan betapa sombongnya ibubapa sehingga hendak menjawab soalan mudah pun enggan. Jawapan kedua pula menunjukkan bengapnya ibubapa sehingga jawapan yang mudah pun tidak mahu beri jawapan sedangkan kita tahu jawapannya.

Ya, barangkali kita penat selepas pulang dari kerja atau penat menyelesaikan tugas harian di rumah tetapi kita harus sedar jika si anak ini menerima respon seperti ini berulang kali maka kemungkinan besar dia tidak akan bertanya lagi. Jika berulang kali itu 100 kali masih tidak mengapa. Apa kata jika anak berhenti menyoal selepas 3 kali sahaja soalannya diberi tapi dia menerima jawapan begitu? Sifat ingin tahunya akan mati serta merta.

Walaupun begitu, ibubapa adalah manusia biasa yang akan selalu melakukan kesilapan. Jika kita sedar, maka cepat-cepatlah memanggil anak ke sisi kita dan memeluknya, "Maafkan umi ya. Umi penat sangat tadi, apa yang angah hendak tahu tadi?".

Tiada salahnya jika kita mengakui kesilapan kita, yang pentingnya kemesraan dibina semula dan naluri ingin tahu mereka dipenuhi. Itu lebih baik dari terus-terusan menyekat sifat ingin tahu itu.

Bagaimana pula dengan cadangan jawapan yang ketiga? Mereka dapat jawapan tetapi ia adalah jawapan yang tergantung. Tidak ada huraian dan penjelasan sedangkan anak pernah mendengar sesuatu yang lain dari miaw dari mulut kita. Sudahnya anak masih terpinga-pinga sekalipun kita telah berusaha memberikan jawapan kepada mereka.

Respon keempat dan kelima adalah yang terbaik. Malah lebih baik lagi jika kita dapat memberi jawapan seperti cadangan jawapan yang kelima. Cuma mungkin respon kelima sukar dilaksanakan kerana pengetahuan kita kita sendiri yang sangat terbatas. Hal ini, kita sendiri yang patut tanganinya dengan baik. Berusahalah mencari ilmu agar kita dapat membantu anak-anak kita kelak.

Sebenarnya anak kecil berkebolehan mengenal nama-nama benda dalam persekitarannya. Tiada istilah susah dalam kamus pembelajaran otak anak kecil. Kitalah yang menentukan sesuatu itu senang atau susah.

Semakin jelas dan terperinci jawapan kita, semakin jelas dan faham anak kita tentang sesuatu perkara. Dia nanti dengan mudah akan faham apa itu kucing Parsi, kucing Siam dan kucing lain.

Lebih baik lagi, adalah apabila kita sendiri menerangkan tentang sesuatu kepada mereka sebelum mereka menyoalnya. Sebagai contoh kita lalu di kawasan perkampungan orang asli, lalu kita beritahu bagaimana keadaan rumah orang asli dan apa yang mereka buat untuk mendapatkan keperluan hidup dan lain-lain berbanding sekadar lalu dikawasan itu tanpa menerangkan apa pun kepada mereka. Kita telah rugi satu peluang untuk berkongsi ilmu dengan anak. Kehidupan mereka akan menjadi bosan.

Selain itu, apa yang berlaku jika anak kecil ingin menolong kita di dapur? Adakah kita akan meminta suami kita untuk mengambilnya supaya dia tidak mengganggu kita di dapur. Sebenarnya anak ini hanya ingin tahu dan ingin buat apa yang uminya buat di dapur.

Biasanya selepas dia tahu satu atau dua perkara dia akan segera beredar. Itu sahaja. Esok, dia akan ulang lagi menemani kita di dapur seketika dan bertanya lagi. Semudah itu sahaja untuk merangsang minat mereka untuk ke dapur.

Dapur kita penuh dengan khazanah ilmu seperti vocabulary dan pengetahuan umum lain yang boleh mereka pelajari dengan mudah. Lebih hebat lagi, disitulah living skill mereka bermula. Insya Allah dengan cara ini, tiada lagi keluhan ibubapa yang sedih dengan anaknya malas ke dapur jika kita mesrakan mereka dengan dapur itu.

Dalam erti kata lain, mula dengan yang paling mudah dan paling biasa bagi kita tapi sebenarnya luar biasa bagi anak. Sama juga jika bapa berminat dengan menternak dan berkebun, kongsikan minat itu itu dengan anak kita. Tidak mustahil suatu hari nanti mereka akan lebih tahu dari kita berkenaan sesuatu.

Lebih baik lagi jika kita mampu membekalkan kepada mereka buku-buku ilmiah (sama ada dibeli atau pinjam dari perpustakaan) atau gambar-gambar yang tepat dan jelas berkenaan sesuatu (dari internet). Hasilnya minat semula jadi anak terhadap ilmu akan terus dipupuk dan dipertingkatkan.

Justeru buatlah pilihan sama ada mahu anak kita menjadi orang yang berilmu atau tidak. Segalanya bermula dengan kita dan di dalam rumah. Tanpa melalui proses ini, living dan survival skill mereka akan menjadi rendah. Jadi... mulakan pernan kita dari saat ini jom!

Sumber:
Fb : Norhafizah Madzlan Pija Sitisifir
Page : Natural Parenting Resources

Comments

Jom Sambung Baca Post Yang Ini Pula

Doa Anak Cerdik Genius Luar Biasa

Aktiviti Eksperimen Gunung Berapi Bersama Anak

Teknik Utama Anak Pandai Mengaji