Tips Mudah Anak Sayang Mama
Assalamualaikum wrb semua pembaca yang dirahmati Allah.
Saya ingin berkongsi KISAH MAMA yang saya dapat daripada langganan email Naluri Parenting Cafe.
Dua tips ini berlaku secara RUTIN dan ia adalah kebiasaan sehingga kini.
Sungguh, betapa membina RUTIN dalam keluarga, amat mempengaruhi membina tingkahlaku positif dalam diri anak tanpa di sedari.
Jom teruskan membaca ^_^
1- Sarapan Yang Membahagiakan
Waktu sarapan adalah waktu yang istimewa. Bukan kerana makanan mewah, tetapi kerana suasana. Mama menginvestasi masa lebih awal untuk mempersiapkan sarapan. Susun atur sarapan dan makanan yang dihidangkan adalah rapi, cantik membuatkan kami terasa seperti dihargai keberadaan kami.Walaupun kadangkala kami kalut ke sekolah, tatkala tiba di meja makan, ia disambut dengan bualan dengan penuh ceria, menyebabkan kami terasa diberi perhatian khas. Susah untuk mendengar suara cemas, jauh sekali bebelan dan jeritan. Suasana ini membuatkan kami rasa senang dan gembira untuk memulakan hari.
Inilah rutin yang kami lalui di pagi hari semasa kami bersama Mama sehingga dewasa. Ketenangan yang sebenarnya terkesan sampai kami besar. Komitmen Mama untuk menyediakan sarapan yang membahagiakan, memotivasi kami untuk membuat kerja harian secara bersungguh-sungguh. Kerana kami sedar bukan mudah untuk seorang ibu mewujudkan ketenangan di pagi hari dengan seribu satu kerenah ahli keluarga.
Sekiranya masa tidak mencemburui, Mama akan meluangkan masa yang lama untuk berbual bersama kami sehinggalah kami berangkat ke sekolah. Sungguh, masa yang singkat terasa menjadi panjang, kerana kami pergi dengan sebuah kegembiraan dan inspirasi. Ia nampak santai, tetapi tanpa disedari, inilah antara RUTIN mahal yang tidak ternilai
2- Menghormati & Meraikan Perasaan Anak
Ramai orang akan highlight betapa pentingnya menghormati orang tua. Tetapi yang terlepas pandang betapa kesan menghormati anak terhadap jatidiri mereka.
Bagaimana Mama membuatkan anak anak terasa dihormati? Mama tidak merendahkan hasil usaha dan pandangan kami. Mama meraikan kejayaan dan kekurangan kami. Kadangkala kejayaan itu amat kecil malah menyedihkan, tetapi mama menukarkan kepada kegembiraan. Sungguh seronok rasanya.
Adapun sekiranya pendapat anak anak atau cara yang kami lakukan salah, Mama tetap menjaga tutur kata dengan tersusun dan berhemah . Mama menyusun kata dengan rapi, sehinggakan anak anak juga secara spontan terasa ingin menyusun kata dengan baik kepada Mama.
Sungguh ia memudahkan kami berbicara terutama apabila ada kekusutan. Ia bukan berlaku ketika kami sudah dewasa sahaja, ia berlaku sejak kami kecil lagi. Ia adalah pelajaran kehidupan yang amat MAHAL bagi kami, iaitu jadikan orang rasa di hormati dahulu, insyaAllah orang akan mudah menghormati kita.
Sekian tips daripada team NPC. Jom kenal siapa MAMA mereka. Sedikit pengenalan beliau seperti di bawah:
Pn Noor Hayati Abdul Hamid adalah Ibu kepada 7 orang anak, Principal Consultant Natural Learning Initiatives dan Founder pusat kecemerlangan NALURI yang menfokuskan kepada pembangunan keluarga. Beliau adalah trainer dan speaker Parenting, Kekeluargaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak.
Comments
Post a Comment